Saturday 25 February 2017

Filem ‘Reis’ papar perjalanan kehidupan Recep Tayyip Erdogan


Filem baharu mengenai Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dijangka ditayangkan di panggung wayang beberapa minggu sebelum satu pungutan suara, April ini bertujuan meningkatkan kuasa Presiden.

Aktor terkenal Turki, Reha Beyoglu melakonkan watak pemimpin itu dalam filem 'Reis' yang bermaksud ketua.

Aktres Turki, Ozlem Balci memainkan watak isteri Erdogan, Emine sementara pelakon kanak-kanak, Batuhan Isik Gurel memegang watak beliau ketika kanak-kanak.

Ia memaparkan kehidupan beliau hingga 1999 yang bermula dengan zaman kanak-kanak di sebuah kawasan miskin di Istanbul sehingga peningkatannya menjadi Datuk Bandar.

Filem itu adalah yang pertama mengenai Erdogan, ia akan ditayangkan di seluruh Turki pada 3 Mac depan sebelum penduduk negara itu mengundi untuk meluluskan kuasa eksekutif Presiden pada 16 April.

Beyoglu yang hampir menyerupai Erdogan ketika muda, menyampaikan satu mesej ringkas dalam sedutan filem itu, termasuk "Kita mati hanya sekali, jika mati biarlah sebagai lelaki!"
Minggu ini, aktor itu memaklumkan stesen penyiaran Kanal D bahawa beliau berbangga kerana Erdogan boleh melihat dirinya ketika muda.


Bagi pengarah filem, Hudaverdi Yavuz, beliau mahu memaparkan kehidupan pemimpin negara itu kerana ia amat menarik dan tajuk filem itu sendiri berasal daripada bagaimana beliau mula dikenali.

"Ketika beliau terpilih kepada Datuk Bandar Istanbul, rakyat secara automatik memanggil beliau ketua sebagaimana kawan kanak-kanak dan kenalan yang turut menggelar beliau sedemikian," katanya. - AFP

0 comments:

Post a Comment