Antara artifak yang dikaitkan dengan masyarakat pada zaman prasejarah itu ialah besi bersoket, gendang Dongson dan loceng gangsa.
Pengkaji percaya artifak besi bersoket merupakan buatan tempatan sementara artifak gangsa adalah produk dari luar yang dibawa masuk untuk ditukarkan dengan barangan seperti bijih timah dan hasil hutan.
Berdasarkan jumpaan ini, ia menunjukkan hubungan dua hala telah wujud antara masyarakat tempatan dengan wilayah luar menerusi aktiviti perdagangan.
Daripada kajian yang dilakukan juga mendapati kebanyakan petempatan masyarakat zaman logam di Selangor termasuk Klang adalah berhampiran dengan sungai.
Justeru peranan sungai sangat penting bukan sahaja sebagai sumber makanan dan jalan perhubungan, malah menjadi asas perkembangan budaya manusia.
Dalam perkembangan lain, terdapat pelbagai teori dikemukakan pengkaji berhubung asal usul nama daerah itu.
Ada yang berpendapat nama Klang dipercayai diambil dari bahasa Mon-Khymer iaitu ‘Klong’ yang bermaksud gudang sebagaimana dikemukakan oleh C.O Blagden yang menyatakan peranan Klang sebagai pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang.
Charles A. Fishr pula berpandangan Klang itu merujuk kepada terusan atau jalan air dan pendapat beliau itu dipersetujui memandangkan Klang mempunyai banyak laluan air.
Menurut pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros, ada juga pendapat yang menyatakan nama Klang diambil dari bunyi loceng atau genta yang terdapat di atas bukit.
“Berdasarkan bunyi loceng tersebut, maka kawasan itu dipanggil sebagai Klang. Pendapat lain turut menyatakan nama Klang diambil dari bahasa Minangkabau iaitu ‘kolang’ yang bermaksud tempat yang terkenang-kenang oleh perantau,” katanya.
Menyelusuri sejarah Bandar Diraja itu, Klang dikatakan pernah menjadi wilayah di bawah pemerintahan Sriwijaya, Majapahit, Kesultanan Melaka sebelum berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama.
Setelah Kesultanan Selangor diasaskan pada abad ke-18 barulah Klang menyertai negeri itu sebagai salah satu daripada wilayah pemerintahan tersebut.
Menurut Azhar, Klang menjadi sebuah pusat tumpuan pengumpulan dan perdagangan bijih timah pada abad ke-19.
“Berikutan perkembangan pesat aktiviti galian itu, berlaku pertelingkahan untuk menguasai kawasan Lembah Klang sehingga menyebabkan peperangan saudara tercetus di Selangor (1867 hingga 1874).
“Peperangan tersebut melibatkan Raja Mahadi yang menuntut hak sebagai ketua dengan Raja Abdullah. Raja Mahadi bagaimanapun gagal di dalam pertempuran tersebut setelah pihak British bertindak untuk campur tangan,” ujarnya.
Klang menjadi sebuah daerah yang penting hanya selepas Kuala Selangor mengalami kemerosotan terutama selepas kemangkatan Sultan Muhammad pada 1857.
Selepas tahun 1874, kolonial British telah memilih Klang sebagai pusat pentadbiran sehingga 1880 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.
Dalam pada itu menurut penyelidik sejarah Selangor, Faisal Surani, Klang mempunyai kisah sejarah yang panjang. Berdasarkan jumpaan zaman logam, Klang berusia lebih kurang 2,500 tahun dan jika berdasarkan penemuan artifak zaman batu pula, Klang telah pun didiami manusia sejak 4,500 tahun dahulu.
“Banyak kisah sejarah tentang Klang terdapat dalam beberapa cerita lisan yang dikenali sebagai tambo.
“Di Klang, tambo-tambo ini merupakan cerita, riwayat atau kisah sejarah yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya secara lisan khususnya dalam kalangan keluarga pembesar dan juga masyarakat Orang Asli.”
“Ramai yang tidak tahu tentang kewujudan tambo-tambo ini yang mempunyai persamaan dengan tambo-tambo di beberapa tempat di Negeri Sembilan.”ujarnya.
Tambahnya, selain catatan-catatan China, Desawarnana (Nagarakertagama) dan Sejarah Melayu, dua daripada tambo berkenaan juga menyebut Klang adalah sebuah negeri yang lengkap dengan kepimpinannya.
Asal-usul nama Klang juga ada diceritakan dalam beberapa tambo berkenaan. Salah satu tambo Orang Asli menceritakan asal nama Klang adalah dari perkataan ‘gelang’ di mana seutas gelang yang hanyut di ulu sungai ditemui semula di muara Sungai Klang.
Manakala dalam Tambo Dato’ Orang Kaya Klang pula mengisahkan Klang mendapat nama dari bunyi loceng yang selalu kedengaran pada awal pagi dan lewat petang oleh kapal dan perahu yang belayar melintasi Kuala Sungai Klang pada masa dahulu.

Sumber : UTUSAN