Monday 20 February 2017

Sejarah SK Telok Gadong




SEKOLAH KEBANGSAAN TELOK GADONG, JALAN YADI, 41250 KLANG, SELANGOR

Sekolah Kebangsaan Telok Gadong adalah diantara sekolah yang tertua di Selangor. Sekolah ini telah dibuka pada tahun 1897. Sekolah ini ditubuhkan di sebuah bangunan hospital lama yang terletak di persimpangan Jalan Sungai Bertik dan Jalan Pelabuhan Klang. Pada masa pembukaan, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Telok Gadong. Nama ini diambil sempena nama tempat tersebut.
Bangunan asal sekolah iaitu bangunan hospital lama yang diubahsuai dengan tiga bilik darjah yang menampung 50 orang murid. Pada masa itu, Guru Besar yang bertugas ialah Encik Hitan bin Abdul Samad (1896 - 1909). Pada tahun 1926, sebuah bangunan baru didirikan untuk menampung bilik darjah. Pada tahun 1935, sebuah bangsal tambahan dibina bagi menampung 300 orang murid.
Sekolah Melayu Telok Gadong tidak kekal di tapak bangunan hospital tersebut. Ia telah dipindahkan ke lokasi baru iaitu bangunan sekolah yang ada sekarang ini iaitu di Jalan Yadi pada 5 Disember 1964. Bangunan lama sekolah ini telah dirobohkan dan dibina jalan raya serta rumah.
Sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Telok Gadong. Pada mulanya, sekolah ini mempunyai dua buah bangunan sahaja iaitu blok A dan blok B yang menampung sejumlah 600 orang murid. Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato' Harun bin Idris pada tahun 1965 iaitu Menteri Besar Selangor pada masa itu. Sekolah ini hanya mempunyai 10 bilik darjah, sebuah pejabat, padang bola sepak, gelanggang badminton, tandas, tempat letak basikal, bekalan air dan elektrik.
Pada tahun 1975, sekolah ini mendapat bangunan baru empat tingkat,. Bangunan ini telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah pada tahun 1977. Pembinaan bangunan tersebut telah menelan belanja sebanyak setengah juta ringgit. Pada tahun 1983, sekolah ini mendapat lagi dua buah bangunan baru iaitu blok D dan blok E.
Pada tahun 1987, sekolah ini telah dijadikan dua buah sekolah dengan dua pentadbiran yang berasingan iaitu Sekolah Kebangsaan Telok Gadong dan Sekolah Kebangsaan Telok Gadong Dua. Pada tahun 1990, Sekolah Kebangsaan Telok Gadong Dua dipindahkan ke sekolah baru yang dibina bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Telok Gadong dan diberi nama Sekolah Rendah Sungai Udang.
Kini, Sekolah Kebangsaan Telok Gadong mempunyai sebuah bangunan baru setinggi tiga tingkat iaitu blok F yang telah siap pada tahun 1998. Bangunan tersebut disediakan satu makmal sains dan 13 buah bilik. Pada tahun 2001, sebuah makmal komputer telah didirikan di sebelah blok F dan siap digunakan pada tahun 2002. Makmal ini dapat menampung seramai 80 orang murid dalam satu masa.
Pada tahun 2003, Pendidikan Prasekolah bermula menggunakan dua kelas di blok F dan menempatkan 50 orang murid. Sebuah blok baru telah dibina untuk Prasekolah Pendidikan Khas yang bermula pada tahun 2008.
Pada tahun 2009, Sekolah Kebangsaan Telok Gadong memiliki 841 pelajar lelaki dan 757 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1598 orang. Ia mempunyai seramai 112 orang guru.

Sejarah Pendidikan Khas di SK Telok Gadong




Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP), Sekolah Kebangsaan Telok Gadong (SKTG) telah ditubuhkan pada 1 Jun 1990. Guru pertama yang mempelopori kelas ini adalah En. Mohd. Noor bin Hj. Mohd. Som. Bilangan murid pada masa itu hanya 12 orang sahaja.

Sehingga tahun 1996, KKBP telah mengalami pelbagai perubahan, antaranya ialah pengubahsuaian kelas, pembinaan Bilik Resos dan Bilik Rekreasi serta Taman Mini Pertanian. Di samping itu, bangunan Mini Gimnasium dan tandas untuk untuk murid kelas khas serta pentas untuk perhimpunan atau aktiviti lain juga berjaya dibina. Perubahan ini adalah hasil sumbangan dari pelbagai pihak seperti Klang Container Terminal (KCT), Balkis, Dipsol Chemicals, Teknikast Sdn. Bhd., Kementerian Pendidikan Malaysia, Acmar Holdings dan orang perseorangan.

KKBP telah dikenali sebagai Program Integrasi Pendidikan Khas (PIPK) bermula tahun 2002. Di samping itu, PIPK turut menerima perubahan dari segi fizikal iaitu penaiktarafan bilik Urus Diri serta pembinaan pentas baru. Kos perubahan ini diperolehi melalui projek mengumpul dana melalui program Majlis Malam Istimewa pada tahun 2002. Selain itu, pihak Jabatan Pendidikan Selangor turut memberi peruntukan untuk menaik taraf tandas murid, bilik guru dan bilik komputer.

Pada tahun 2004, taman permainan PIPK telah dibina. PIPK dikenali dengan nama PPKI pada tahun 2008. Pra-sekolah PPKI juga telah diwujudkan pada tahun yang sama. PPKI telah menaik taraf stesen-stesen P&P dengan memasang jubin lantai bag isetiap stesen. Pada tahun 2010, PPKI telah membesarkan kantinnya yang baru.

Kini, PPKI SKTG mempunyai 18 bilik darjah dan sehingga hujung bulan Ogos 2011, muri-murid PPKI berjumlah 131 orang, manakala 8 orang murid dari Pra-PPKI. 


Sumber

1 comment:

  1. Bangga dengan sekolah ini. Bermuda dari 3 kelas dan hari ini telah bertingkat pula. Aku adalah salah seorang bekas pelajar di sekolah berkenaan di era tahun 80an. Semoga sekolah ini akan terus cemerlang.

    ReplyDelete