Monday 31 July 2017

Sejarah : Asal Usul Nama Selangor

Sebagai rakyat Selangor, kita WAJIB TAHU bagaimana Selangor mendapat Nama.



Hikayat Umum

Sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor.


Cerita 1

Satu ketika dahulu kawasan kuala sungai tersebut dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai mentangau. Pohon mentangau yang banyak terdapat di situ sering kali dijadikan panduan kepada pelayar ke kawasan itu kerana didapati sesuai sebagai tempat persinggahan bagi menambah bekalan menyambung pelayaran. 

Para pelayar menggelar kawasan ini sebagai ‘kuala mentangau’. Menerusi peredaran masa sebutan ‘kuala mentangau’ berubah menjadi Kuala Selangor, tempat berakhirnya aliran Sungai Selangor.


Cerita 2

Seorang pendekar yang sedang mengembara telah singgah di sebuah kawasan yang belum pernah dijejaki sebelum ini. Ketika sedang berehat, dirinya rasa cukup terganggu dengan kehadiran seekor langau yang terus-terusan hinggap di hidungnya. Kehadiran langau itu cukup menjengkelkan dirinya yang kemudian cuba untuk membunuh langau tersebut dengan memukulnya tetapi gagal. 

Terdetik di dalam hati pendekar itu bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau. Dia kemudian beranggapan bahawa tempat ini memiliki semangat yang lebih hebat dari dirinya lalu mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraannya. Mulai hari itu, setiap kali merujuk kepada tempat tersebut, pendekar itu akan menggelarinya sebagai ‘selangau’ dan akhirnya diterima pakai sebagai nama tempat tersebut.


Cerita 3

Terdapat sebuah kawasan di sekitar pantai Kuala Selangor yang pada suatu ketika dijadikan tempat hukuman kepada mereka yang didapati bersalah oleh pemerintah. Para pesalah akan diikat pada palang kayu (juga dikenali sebagai salang) dan kemudian dijemur di bawah terik matahari. 

Mengikut adat Melayu ketika itu hukuman ini dilakukan di kawasan yang disebut sebagai “di hujung pasir”, yang mana ia menepati ciri-ciri bentuk muka bumi di kawasan pantai Kuala Selangor yang mengunjur ke laut. Hukuman “salang dan di jemur” kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.

0 comments:

Post a Comment